DUN Kijal antara `kerusi panas` PRN Terengganu

TIRAI pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah dibuka dengan sekurang-kurangnya 22 ‘kerusi panas’ daripada keseluruhan 244 Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dikenal pasti berlaku pertembungan sengit.

Dengan PRN enam negeri ini dijangka banyak pihak menjadi referendum terhadap pencapaian Kerajaan Perpaduan, semestinya kesemua kerusi panas itu bakal menjadi penentu sama ada calon ‘heavyweight’ yang dipertaruhkan memenuhi jangkaan kemenangan atau ditumbangkan calon ‘penyembelih naga’.

Sinar Premium menyenaraikan antara 22 kerusi panas yang dikenal pasti menjadi rebutan koalisi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahu pun calon-calon lain.

TERENGGANU

PRN Terengganu menyaksikan sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN yang bakal menjadi perebutan sengit di antara koalisi BN-PH dan PN iaitu DUN Rhu Rendang, DUN Kijal dan DUN Seberang Takir.

PRN negeri ini turut menjadi saksi penglibatan dua bekas Menteri Besar Terengganu daripada BN cuba mempertahankan kerusi DUN disandang, manakala Pas dan Bersatu berusaha untuk mengulangi pencapaian cemerlang menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen pada PRU15.

Meskipun Parlimen Marang merupakan antara salah satu kawasan Parlimen Pas yang menerima petisyen pilihan raya bagi pembatalan keputusan PRU15, namun pemerhati politik tidak melihat senario itu mampu mengikis peluang PN mengekalkan semua kerusi DUN di bawahnya, termasuklah DUN Rhu Rendang.

Justeru, tidak sukar untuk menjangkakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas, bakal menang selesa di DUN itu, lebih-lebih lagi setelah pencabarnya, Suhaimi Sulaiman dari PKR bukanlah satu nama besar.

Di DUN KIJAL, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas menteri besar negeri itu bakal menerima cabaran sengit daripada Ketua Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris.

Pertembungan Ahmad-Razali dijangka amat sengit memandangkan kedua-duanya boleh dianggap tokoh politik bertaraf nasional dan mempunyai kekuatan penyokong tersendiri.

Atas kertas, peluang Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN disandang sejak tahun 1990 itu agak sukar, susulan beliau turut tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15 dengan majoriti besar 27,179 undi.

Bagaimanapun, segala kemungkinan boleh berlaku dan sekiranya Razali tidak menerima sokongan pengundi tegar Pas sebagaimana sepatutnya, Ahmad mungkin boleh mencipta kejutan.

DUN Seberang Takir juga bakal menjadi penentu sama ada gelombang hijau pada PRU15 benar-benar berulang pada PRU15 susulan kerusi DUN merupakan kawasan kubu kuat BN sejak sekian lama.

Kerusi DUN itu bakal dipertahankan seorang lagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menyandangnya sejak tahun 2008.

Bagaimanapun kejutan mungkin boleh berlaku susulan PN dan Bersatu mempertaruhkan bekas Exco Kerajaan Negeri daripada BN, Khazan Che Mat yang kembali membuat kemunculan semula untuk mencabar Ahmad Razif selepas tidak bertanding selama dua penggal.

Selain itu, satu lagi kerusi ‘panas’ lain yang perlu diberi perhatian di Terengganu selain kerusi DUN negeri itu adalah kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terpaksa diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRK kali ini, Ahmad Amzad sekali lagi diberikan kepercayaan oleh Pas dan PN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu, dengan beliau bakal dicabar Pengerusi PH Terengganu, Azan Ismail.

Terengganu